cinta hati mama

cinta hati mama

Khamis, 5 Mei 2011

Renungkan......

Benarkah lelaki yg baik utk wanita yg baik?


Dua hari lepas, seorang adik rakan sekerja menanyakan; sejauhmanakah kebenaran fakta ‘lelaki yang baik untuk wanita yang baik, lelaki jahat pula untuk wanita yang jahat’? Terkejut juga bila soalan itu diajukan kepada saya pada awal-awal pagi.

Sebelum jawapan saya berikan, saya tanyakan dulu kenapa soalan tersebut diajukan kepada saya. Menurut adik yang dikenali dengan nama Suci ini, seorang rakannya bakal berkahwin tidak lama lagi. Ketika pertemuan baru-baru ini, rakannya tersebut meluahkan rasa bimbang dengan latar belakang gadis yang bakal dikahwininya.

Kenapa bimbang? Menurut ceritanya, rakan Suci adalah seorang lelaki yang agak liar sebelum ini, mengamalkan pergaulan bebas tanpa batas dan pernah mengamalkan cara hidup melanggar hukum syarak. Tapi itu dulu, suatu masa dulu dan kini rakan Suci dah pun berubah. Latar belakang dirinya yang jahat sebelum ini yang menimbulkan kerisauan; apakah gadis yang bakal dikahwininya mempunyai sejarah yang sama dengan sejarah hidupnya?

Jawapan saya kepada persoalan Suci akan saya bincangkan di dalam resipi kali ini. Hakikatnya, tak ada seorang individu pun di dunia ini yang suka kepada kejahatan atau suka untuk berkawan dengan orang yang jahat. Malah, individu yang terlibat dalam aktiviti tidak sihat, tidak pernah merasakan mereka jahat. Apakah maksudnya? Ya!! Baik atau jahat itu adalah satu perkara yang tidak sama definisinya atau konsepnya kepada setiap individu. Bagi seseorang yang tidak sukakan individu perokok, tidak mustahil perokok adalah tergolong di dalam kategori jahat. Jelasnya, maksud baik dan jahat adalah bergantung kepada penerimaan seseorang. Berkaitan persoalan Suci tadi, ya… di dalam al-Quran jelas menyatakan: “Perempuan-perempuan jahat untuk lelaki-lelaki jahat, lelaki-lelaki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk lelaki-lelaki baik, lelaki-lelaki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia.” Menurut pengajian ulum al-Quran, ayat ini sebenarnya diturunkan oleh Allah SWT selepasnya meletusnya tuduhan dan fitnah terhadap isteri Rasulullah SAW, Saiyidatina Aisyah yang kononnya melakukan perbuatan jahat dengan seorang lelaki. Walaupun sekadar satu penafian terhadap fitnah tersebut, ayat ini juga difahami sebagai satu janji Allah SAW kepada hamba-Nya. Saya yakin, anda biasa bertemu dengan kes seseorang ber’title’ ustaz atau ustazah (yang sinonim dengan seorang yang baik) mengahwini individu yang biasa-biasa sahaja atau mungkin bagi sesetengah orang, agak kurang baik jika dibandingkan dengan pasangannya. Jika ayat tadi adalah janji Allah kepada hamba-Nya, kenapa jodoh sebegini tetap ada? Hakikatnya, setiap pasangan yang ditakdirkan bertemu jodoh adalah dengan kehendak-Nya juga. Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah mempunyai sebab dan hikmah yang tersendiri. Sama jugalah dengan jodoh seseorang.

Saya percaya, kebanyakan individu mempercayai dan mengharapkan pasangannya adalah yang terbaik untuk dirinya. Bererti, tercapailah maksud ayat, lelaki baik untuk perempuan baik. Namun, apabila berlaku ketidakadilan atau perlanggaran hak ketika melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang sewajarnya di dalam perkahwinan dan rumahtangga, sudah pasti akan menyebabkan timbulnya masalah. Apabila pihak yang sengaja enggan melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya yang sewajarnya, tetap enggan biarpun telah diberikan teguran, selalunya akan menyebabkan berlakunya perceraian. Tika inilah janji kedua di dalam ayat tersebut, berlaku: lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat - bererti sudah tidak ada jodoh antara mereka disebabkan berlakunya perbezaan sikap di dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan perlu. Sama juga dengan kes suami isteri yang bertemu jodoh dalam keadaan sama-sama menggagalkan diri daripada menunaikan tanggungjawab yang patut dan wajar di dalam kehidupan Muslim dan rumahtangga.


Apabila seorang daripada mereka tersedar dan kembali cuba menunaikan tanggungjawab yang perlu, selalunya akan berlaku perpisahan, menepati janji termaktub di dalam ayat 26, surah an-Nur tadi. Merujuk kes kawan Suci, hakikatnya sejarah hitam seseorang tidak perlu diungkit. Tambahan pula, kawan Suci dah pun bertaubat dan dek kerana kebaikan yang wujud di dalam diri kawan Suci tadi, dia bertemu jodoh dengan seseorang yang dianggap terbaik untuk dirinya tika itu.

Kenapa nak fikirkan kisah silam sendiri atau bakal pasangan? Allah SWT Maha Pengampun malah seseorang yang melakukan dosa besar dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat adalah lebih mulia dan suci berbanding mereka yang seringkali melakukan dosa kecil. Tak perlu bincangkan kisah lama kerana kita perlu hidup untuk hari ini dan masa depan. Paling penting, sentiasa berusaha untuk tingkatkan keimanan dan kebaikan di dalam diri sendiri dan pasangan kita. InsyaAllah, jika satu pihak yang baik ditemukan dengan yang kurang baik namun mahu dan sanggup berusaha ke arah yang lebih baik, maka akan jadi baiklah juga akhirnya./Suzana Ghazali Posted by ahmadi

Tiada ulasan: